Intelek, Isu semasa

[ ISLAM & IDEOLOGI ]

بسم الله الرحمن الرحيم
الحمد الله رب العٰلمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبيإ والمرسلين وعلى آله وصحبه أجمعين
أما بعد

Sebagai permulaannya, kita terlebih dahulu perlu melihat kepada maksud perkataan ideologi iaitu yang datang daripada gabungan perkataan idea (pemikiran) dan logy (ilmu). Ideologi bermaksud ilmu pemikiran ataupun jalur pemikiran. Ia merujuk kepada beberapa bentuk pemikiran yang wujud di dunia dalam pelbagai bidang. Oleh itu, ideologi dan pemikiran adalah satu perkara yang sama. Ideologi atau pemikiran ini sebenarnya telah bermula sejak seribu tahun dahulu. Manusia yang diberikan akal menggunakannya untuk memikirkan berbagai perkara berkaitan hakikat kehidupan dan cabang-cabangnya. Mereka yang menceburi bidang pemikiran ini digelar sebagai ahli falsafah.

Kemunculan Islam menyebabkan ramai pihak iri hati dan berusaha mematikan cahayanya. Berbagai serangan dan peperangan dicetuskan. Namun ia terus gagal kerana umat Islam memiliki prinsip jihad yang hebat dan tidak takut mati. Ini berlarutan sehinggalah musuh Islam melancarkan bentuk serangan baru iaitu serangan pemikiran غزوة الفكر. Mereka memasukkan berbagai bentuk pemikiran yang bertentangan Islam supaya manusia leka dan meninggalkan ajaran Islam. Dengan itu, Islam akan menjadi lemah dan tidak lagi berkuasa.

Allah SWT telah menyatakan bahawa agama Islam sahaja yang diiktiraf di sisi Allah. Islam adalah petunjuk daripada Allah kepada seluruh makhluk sejak bermulanya kejadian alam. Hanya Islam menjadi anutan semua para Rasul dan Anbia’.

Firman Allah SWT:

إِنَّ الدِّينَ عِندَ اللَّهِ الْإِسْلَامُ وَمَا اخْتَلَفَ الَّذِينَ أُوتُوا الْكِتَابَ إِلَّا مِن بَعْدِ مَا جَاءَهُمُ الْعِلْمُ بَغْيًا بَيْنَهُمْ وَمَن يَكْفُرْ بِآيَاتِ اللَّهِ فَإِنَّ اللَّهَ سَرِيعُ الْحِسَابِ

[آل عمران: 1]

“Sesungguhnya Al-Din (agama, ajaran dan petunjuk cara hidup yang benar dan diredhai) di sisi Allah ialah Islam. Dan orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan Kitab itu tidak berselisih (mengenai Islam dan enggan menerimanya) melainkan setelah sampai kepada mereka pengetahuan yang sah tentang kebenarannya; (perselisihan itu pula) semata-mata kerana hasad dengki yang ada dalam kalangan mereka. Dan (ingatlah), sesiapa yang kufur (ingkar) akan ayat-ayat keterangan Allah (dalam Kitab suci dan keterangan Nabi-nabi terdahulu), maka Sesungguhnya Allah amat segera hitungan hisab-Nya)”. (Surah Aali-Imran: 19)

Maka, cubaan untuk meletakkan jenama Islam dalam sesetengah ideologi atau teori pemikiran dengan tujuan-tujuan tertentu adalah tidak wajar sama sekali. Kerana Islam yang sebenar itu sifatnya syumul, ia merangkumi segenap aspek kehidupan manusia bermula alam ruh sehinggalah ke alam akhirat.

Firman Allah SWT:

قُلْ أَفَغَيْرَ اللَّهِ تَأْمُرُونِّي أَعْبُدُ أَيُّهَا الْجَاهِلُونَ (64) وَلَقَدْ أُوحِيَ إِلَيْكَ وَإِلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِكَ لَئِنْ أَشْرَكْتَ لَيَحْبَطَنَّ عَمَلُكَ وَلَتَكُونَنَّ مِنَ الْخَاسِرِينَ
(65)

[الزمر: 64-65]

“Katakanlah (wahai Muhammad kepada orang-orang musyrik itu): “Sesudah jelas dalil-dalil keesaan Allah yang demikian), patutkah kamu menyuruhku menyembah atau memuja yang lain dari Allah, hai orang-orang yang jahil?”. (64) “Dan sesungguhnya telah diwahyukan kepadamu (wahai Muhammad) dan kepada Nabi-nabi yang terdahulu daripadamu: “Demi sesungguhnya! Jika engkau (dan pengikut-pengikutmu) mempersekutukan (sesuatu yang lain dengan Allah) tentulah akan gugur amalmu, dan engkau akan tetap menjadi dari orang-orang yang rugi”. (65) (Surah Az-Zumar: 64-65)

Antara pemikiran atau ideologi tersebut ialah:-
1. SEKULARISME
Bentuk pemikiran yang dibawa ialah berteraskan kepada pemikiran dari sudut keduniaan semata-mata dan menolak unsur-unsur spiritual dan rohani. Intipati ajaran ini ialah menolak agama seluruhnya dan mengingkari wujudnya Allah. Ada juga golongan yang beriman kepada Allah akan tetapi mengingkari hubungan Allah dengan kehidupan. Hanya menganggap urusan agama hanyalah beribadat semata-mata.

Kehidupan pula mestilah berasaskan ilmu sains dan logik akal manusia dan sebarang hasil kajian yang bertentangan dengan prinsip agama, maka agama perlu ditolak. Seterusnya fahaman ini menghalang manusia menceburi ilmu rohani kerana menganggap ilmu berunsur ketuhanan atau urusan hati akan menyebabkan urusan dunia terjejas. Akhirnya fahaman ini memisahkan hukum hakam agama dari politik dan boleh memerintah dengan apa cara sekalipun melanggar prinsip agama.

2. PLURALISME
Aliran pemikiran ini membentuk sebuah fahaman yang mengatakan semua agama adalah sama dan betul belaka. Islam sama dengan Kristian, sama dengan Yahudi, sama dengan Hindu dan juga agama lain. Seterusnya kumpulan pemikiran sebegini menyatakan tiada satu pun agama yang benar 100% bahkan setiap agama mempunyai kebenaran dan kesalahan. Fahaman ini juga turut membenarkan manusia menganut lebih daripada satu agama. Akhirnya ia menganggap semua agama daripada Tuhan yang sama dan kesemuanya menuju ke syurga.

3. LIBERALISME
Fahaman ini memperjuangkan kebebasan individu secara optimum. Bagi mereka, manusia bebas melakukan apa sahaja selagi tidak mengganggu individu lain. Sebarang undang-undang yang mengawal hak peribadi manusia dikira zalim, termasuklah dalam soal keagamaan. Antara perjuangan mereka ialah menolak undang-undang agama yang mengawal kebebasan manusia. Mereka juga menuntut supaya manusia bebas bertukar-tukar agama. Mereka berfahaman selagi mana sesuatu perkara tidak melampaui hak orang lain, maka ia tidak menjadi salah. Akhirnya mereka menuntut agar memberi hak kepada semua golongan termasuk golongan minoriti atau apa jua perjuangan.

4. POST-ISLAMISME
Post bermaksud selepas. Ia memberi maksud sebuah kefahaman yang mengenepikan syariat Islam dalam perjuangan menegakkan keadilan. Fahaman ini menular dalam negara umat Islam khususnya bertujuan menjauhkan umat Islam dari syariat Islam sendiri. Ia menganggap syariat Islam perlu diketepikan terlebih dahulu sebelum kuasa politik diperolehi. Dakwah Islam perlu dihentikan sekiranya merugikan masa depan politik.

Antara nama lain yang merosakkan kefahaman Islam sebenar ialah seperti Islam Liberal, Islamopolitik, Islamic socialism, dan sebagainya. Ada juga golongan yang cuba mengelirukan hakikat Islam yang sebenar dengan mereka menamakan dengan nama-nama baru seperti Islam Hadhari, Islam Wasatiyyah dan Islam Progresif.

Sebagai penutup, beberapa contoh pemikiran dan ideologi diatas hanyalah merupakan sebahagian daripadanya dan tidak dinafikan masih ada contoh-contoh pemikiran dan ideologi lain yang bertentangan dengan prisip Islam seperti Nasionalisme, Kapitalisme, Komunisme dan Sosialisme. Justeru, kita sebagai umat Islam perlu menyedari hakikat ini dengan berpegang teguh dengan prinsip ajaran Islam berpandukan Al-Quran kalam Allah SWT , As-Sunnah Rasulullah SAW dan para Ulama’ rohimahumullahutaala ajma’in. Selain itu kita hendaklah terus belajar dan memahami segala ajaran Islam supaya kita mengetahui keluasan bidang agama ini yang tidak memerlukan sebarang bentuk ajaran lain. Kita juga dinasihati agar mengenali dengan lebih berhati-hati bentuk-bentuk pemikiran ini agar kita tidak terpedaya dan terjebak dengan pemikiran songsang bertentangan dengan prinsip agama Islam.

Sumber: Nadi Perjuangan, Alang Ibn Shukrimun

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s