Dakwah, Tarbiyah

[[ NILAI KEMANUSIAAN YANG KIAN TERCARIK ]]

Kemanusiaan adalah sebuah nilai yang baik yang terbit dari hati seorang manusia dan terjelma dalam percakapan dan perbuatan seharian. Nilai-nilai ini mampu membentuk manusia menjadi insan yang mulia, beriman dan berakhlak serta sentiasa bahagia dalam kehidupan di dunia dan akhirat, apabila nilai-nilai kemanusiaan sudah hilang dari hati dan jiwa manusia maka akan timbullah perasaan negatif yang tidak baik seperti perbuatan kejam, zalim dan tidak berakhlak muncul menjadi barah sehingga sanggup melakukan kekejaman, penderaan dan keruntuhan akhlak yang lain. Keseimbangan pendidikan hati, jiwa dan rohani mestilah diperkasakan dengan lebih giat.

Fenomena yang berlaku akhir-akhir ini apabila manusia hilang nilai kemanusiaan menyaksikan ada yang sanggup menyumbat bayi ke dalam peti ais beku, mengerat bayi sebelum dibuang ke dalam lubang tandas, mendera kanak-kanak bahkan orang tua yang tidak berdaya. Kajian psikologi Islam menunjukkan perbuatan ini biasanya dilakukan oleh manusia yang tidak beriman, tidak mempunyai rasa belas kasihan dan mungkin juga tidak siuman yang sudah hilang sifat dan nilai kemanusiaan.

Tahniah diucapkan kerana jika berbicara soal isu kemanusiaan pastinya ramai yang pernah terjun kelapangan misi, hal ini menunjukkan kalian berjiwa besar dalam membina ummah terbilang. Dan yang menjadi tanda tanya adalah bagaimana peranan seorang pendakwah dalam terus menjadikan isu kemanusiaan, kurangnya ilmu, keruntuhan akhlak ini terus membarah di akhir zaman ini dan pastinya tugas ini amatlah berat. Seni dakwah ini bukanlah setakat ini, seni dakwah ini luas dan perlu kepada kesabaran yang sungguh-sungguh dipasak kerna kerja menyeru saat ini bukanlah kerja yang mudah malah cemuhan, hinaan segalanya wajib menjadi makanan seharian seorang pendakwah masa kini.

Terpanggil untuk saya sentuh isu yang paling dekat dengan realiti yakni isu kemanusiaan, keruntuhan akhlak yang sering menjadi barah dan isu ini amatlah luas namun saya ulas dalam konteks sebagai pelajar jurusan Dakwah dan Pembangunan Insan. Dalam konteks sebagai seorang pendakwah sudah menjadi kewajipan untuk menyelami golongan seperti ini. Hal ini kerana tanpa bimbingan dan dorongan kearah penghijrahan mungkin mereka boleh sahaja pulang kembali ke lembah yang lalu. Pembelajaran dan penghayatan terhadap ilmu agama amatlah ditekankan saya ambil contoh, ada seorang sahabat yang pernah terjerumus ke lembah yang kita panggil LGBT (lesbian, gay, bisexsual, transgender) datang dan meminta kepada kita untuk membantunya dalam proses perubahannya dan sudah menjadi tanggungjawab kita untuk membantunya, namun pendekatan apa yang pasti untuk kita lakukan? Buanglah segala judgement yang sering bersarang kerana itulah juga antara asbab golongan seperti ini beralih arah, realitinya kita nampak sekarang. Empati tentang apa yang sudah terjadi pada dirinya dan bantu dia untuk mencari solusi yang terbaik, dan tugas kita bukan berakhir disitu tetapi terus membimbing walaupun pada jarak jauh.

Bercakap berkaitan EMPATI,

Empati ini sangat berkait rapat dengan simpati tetapi kata empati ini lebih jauh masuk di dalam hati seolah-olah turut merasakan berada didalam `kasut` cerita seseorang, saya beri contoh daripada satu video yang saya rasa penangan emosi didalamnya, seorang datuk tua yang memegang tongkat ingin melintas jalan sambil membimbing satu plastik yang berisi buah tomato, suasana dijalan raya seperti biasa tetapi tidak sampai 2 minit suasana terasa lain apabila plastik yang berisi tomato itu jatuh dan lampu isyarat sudahpun mengeluarkan arahan untuk kereta bergerak, namun orang yang berada di dalam kereta itu mulanya sekadar “melihat” dan bersimpati. Tidak lama kemudian salah seorang daripada mereka turun daripada kereta dan mengutip buah tomato tersebut kedalam plastik sementara itu ada pengawai polis yang menekan lampu isyarat tersebut supaya terpadam dan selepas itu ramai pemandu yang keluar mengutip buah tomato dan membantu datuk tersebut sampai ke hujung jalan. Begitulah jika kita berada ditengah-tengah manusia lain, tindakan ataupun tanggungjawab moral itu menjadi sebuah keutamaan tanpa berfikir panjang.

Empati ini terjadi dalam setiap kehidupan kita ditambah lagi apabila kita sering berada ditengah-tengah kehidupan manusia lain. Islam amat menekankan umatnya memiliki sifat empati ini melalui pelbagai panduan dan galakan. Malah lebih tinggi nilai dirinya kerana berkait rapat dengan keimanan seperti sifat ‘ithar’. Antaranya Allah menyebut dalam Surah Al -Insan mengenai golongan Abrar (yang berbuat kebaikan) dan kenikmatan kekal disediakan baginya. Antara sifat mereka ialah memberi makan kepada orang miskin, anak yatim dan yang dalam tahanan walaupun mereka memerlukannya.

Perkataan ‘ala hubbihi’ bermaksud walaupun mereka sayang berbuat begitu menunjukkan yang menghulur itu juga memerlukan makanan itu tetapi mereka mendahulukan golongan lebih memerlukan. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Perbandingan orang Mukmin dalam soal kasih sayang, belas ihsan dan keprihatinan sesama mereka adalah seperti satu jasad. Apabila ada anggotanya sakit, maka seluruh badan sakit, tidak dapat tidur dan demam.” (HR: Muttafaq ‘Alaih)

Justeru, tidak hairanlah sahabat Nabi sanggup mengorbankan harta, nyawa dan berhijrah. Jiwa empati mereka memikirkan orang lain serta meyakini bahawa apa yang dilakukan tanda kasih kepada Allah akan mendapat balasan. Kesimpulan daripada sifat empati yang berkait rapat dengan sebuah nilai kemanusiaan seharusnya dikembangkan sifat ini dalam diri kita dan bukan sekadar simpati. Empati ini tidak boleh dipelajari dari jalur formal pendidikan di dalam sekolah mahupun dibilik kuliah. Ia hanya diperoleh jika kita selalu mengasah tingkat kesedaran dan kepekaan kita dengan turut melibatkan diri, berada di tengah-tengah kehidupan, dan merasai sendiri keperitan. Apabila kita telah mencapai tahap kesedaran tinggi maka empati pasti akan muncul dan ego diri semakin terkekang.

Akhir sekali, suka saya untuk petik mafhum kata-kata seorang pensyarah yang sangat saya hormati Dr Yusmini Md Yusof. Beliau mengajar kami subjek yang akan sering membuatkan saya muhasabah diri iaitu Kemahiran Asas Kaunseling Dalam Dakwah, katanya, “ Dalam proses tolong-bantu daripada kaca mata seorang pendakwah yang hidup dalam masyarakat cuba untuk upgrade nilai EMPATI dalam diri, antumlah mata rantai yang bertindak bukan sekadar `melihat` dan `kasihan` tetapi turun ke lapangan misi dan “BANTU” dengan ilmu yang antum kutip di Akademi Pengajian Islam. Bantulah orang diluar sana faham Islam .Kita kena sentiasa fikir, dimana ruang untuk kita “step in” dalam menjadikan kita sebesar-besar manfaat di muka bumi ini.”

Wallahualam.

Nurul Husna Aqirah
Jabatan Dakwah dan Pembangunan Insan,
APIUM
Duta Neo-Siswa UM 18/19

 

” Pendidikan jiwa dan hati yang kuat dalam merealisasikan kerja dakwah mampu menyemai nilai kemanusiaan yang kian pupus dalam kalangan umat akhir zaman “

DUTA HUSNA.jpg

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s