Dakwah, Tarbiyah

KEPENTINGAN MENEPATI MASA

Alhamdulillah, bersyukur kita kepada Allah kerana sehingga ke detik ini kita masih lagi dapat merasai dua nikmat terbesar yang sangat berharga iaitu nikmat Iman dan Islam.  Islam amat menitikberatkan umatnya agar menghargai masa. Allah telah berkali-kali menegaskan di dalam al-Quran bahawa masa itu amat berharga dan barangsiapa yang mensia- siakan masa dan usia hidupnya dengan perkara-perkara yang melalaikan dan tidak mendatangkan manfaat kepada agama akan dipersoal dan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak. Masa merupakan neraca perhitungan terhadap segala pergerakan dan tindakan insan.

Masa yang berlalu itu tidak akan kembali walau cuma sedetik. Nilainya tidak boleh dicari ganti.

Al-Quran telah menggambarkan betapa pentingnya masa dalam kehidupan insan.
Firman Allah SWT, maksudnya :

“Demi masa, sesungguhnya manusia itu berada di dalam kerugian, kecuali bagi mereka yang beriman dan beramal soleh. Mereka berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran”.

Orang yang benar-benar mengerti dan menghargai masa tidak akan membiarkan masa
yang diperuntukkan kepadanya berlalu begitu sahaja. Malah masa tersebut akan digunakan semaksima mungkin untuk perkara-perkara kebaikan, kerja-kerja amal soleh lagi bermanfaat kerana dia sedar bahawa masa itu umpama umurnya.

Dengan berlalunya masa beerti semakin berkurang tempoh umur seseorang itu walau angka umurnya semakin bertambah.

Sabda Rasulullah SAW:

“Tidak akan berganjak kedua-dua kaki seorang hamba pada hari kiamat melainkan ditanya terlebih dahulu tentang 4 perkara. Tentang umurnya untuk apa dihabiskan. Masa mudanya bagaimana ia pergunakan, hartanya dari mana ia perolehi dan untuk apa ia belanjakan dan tentang ilmunya bagaimana ia manfaatkan”. (Riwayat at-Tirmidzi)

Justeru itu, tidak dapat dinafikan bahawa masa adalah sangat penting untuk dititikberatkan. Orang yang sangat menghargai masa akan sentiasa berusaha untuk menepati masa dalam segenap urusan sehariannya.

Orang yang menepati masa juga adalah orang yang berdisiplin dalam pengurusan dirinya. Antara cara yang boleh kita praktikkan dalam melatih diri menepati masa adalah dengan solat di awal waktu. Mereka yang berjaya menjaga solat di awal  waktu adalah antara ciri-ciri orang yang berjaya dalam aspek pengurusan masa.

Allah telah menciptakan masa yang sama jumlahnya iaitu sebanyak 24 jam sehari bagi  setiap manusia di serata benua. Cara pengurusan masa yang berkesan adalah bergantung kepada kita sendiri sama ada ingin menjana waktu 24 jam itu menjadi hanya 10 jam sehari yang  dimanfaatkan atau bahkan mencipta formula lain dalam memperuntukkan 25 jam sehari untuk  menjana masa tambahan seperti yang diaplikasikan oleh seorang cendekiawan Syariah, Datuk  Dr.Mohd Daud Bakar.

Semuanya di atas kehendak dan tindakan serius kita sendiri dalam  menterjemahkan kualiti dan disiplin diri menerusi aspek penjagaan masa ini. Sebagai panduan  dalam menjadi seorang yang pandai mengurus dan mengendalikan masa dengan baik, ayuh kita  perbanyakkan membaca dan menyingkap kisah-kisah orang orang yang hebat dan terbukti  kredibiliti mereka dalam memanfaatkan peruntukan masa mereka.

Sebagai cadangan, sahabat- sahabat boleh membaca dengan lebih lanjut buku-buku berunsur motivasi dalam aspek pengurusan dan penjanaan masa. Antaranya, ‘Nilai Masa di sisi Ulama’ karangan Syaikh Abdul Fattah Abu Ghuddah, ‘Saya Ada 25 Jam Sehari’ karya Dr.Mohd Daud Bakar dan sebagainya.

Semoga Allah redha dan menjadikan kita semua antara orang-orang yang menghargai masa, menepatinya dan memanfaatkannya secara praktikal dalam realiti hidup sebagai seorang Mukmin yang sebenar.

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s