Madrasah Gen-Q

Siri 1 : Kepentingan Tradisi Keintelektualan Islam

PEMBENTANG: DR. AMRAN MUHAMMAD

TULISAN: NIK MUHAMAD AMAL MOHD ASRI

(Majlis Tertinggi Neo-Siswa UM)

WhatsApp Image 2019-03-23 at 18.14.03 (2)

1.0 DEMOKRASI LIBERAL: NARATIF YANG DITELAN KRISIS

Pembentang memulakan pembentangan beliau dengan menyebut naratif demokrasi liberal yang telah dibelenggu krisis pada masakini. Naratif demokrasi liberal yang bermula pada abad ke 18 pada era pencerahan(enlightenment) akhirnya telah menemui jalan buntu dalam menuju kestabilan ekonomi, politik, kebebasan dan keadilan. Antara ciri yang boleh dilihat dalam naratif ini adalah pemerintahan berparlimen yang mana mengambil kira suara majoriti sebagai ahli dalam memutuskan satu-satu isu kerajaan yang diwakili oleh perdana menteri atau presiden bagi negara-negara republik.

Pelbagai alternatif yang cuba ditampilkan dalam menggantikan demokrasi liberal yang dikemukakan pada harini. Antaranya, komunis, marxis, sosialis, anarkis, idea Negara Teokratik yang diwacanakan oleh puak syiah dan pengembaliajn khilafah islamiyah yang disolgankan oleh Hizbut Tahrir. Altenatif-alternatif ini juga mengambil pendekatan yang melampau atau terlalu bermudahan-mudahan dalam sesuatu aspek yang lain. Ianya tidak komprehensif dalam membincangkan aspek peradaban dalam mewujudkan masyarakat yang harmoni, adil dan saksama. Idea-idea alternatif ini sememangnya bersifat utopia; sukar untuk dipijak dan direalisasikan.

2.0 FENOMENA ‘KALUT’ DALAM ASPEK PERADABAN MASYARAKAT

Pada era pasca-modenisme menampakkan fenomena ‘kalut’ atau dikatakan sebagai chaos dalam pembinaan aspek peradaban masyarakat. Sebagai contoh, fenomena kalut yang berlaku dalam aspek politik yang sering memperjuangkan kebebasan, keadilan, kesamarataan yang hanyalah menjadi bualan retorik buat ahli politik semasa. Hal ini berlaku akibat dari berlaku timbulnya politik identiti yang mana turut berlaku ideologi pasca-kebenaran(post-truth) seperti yang berlaku dalam pertembungan politik antarabangsa yang berlaku pada Trump dan juga Brexit. Lebih membahayakan lagi, idea pasca kebenaran ini menimbulkan idea-idea lebih radikal dan ekstrem seperti yang berlaku pada golongan ISIS pada hari ini.

Melihat pada fenomena kalut dalam sains pula, falsafah sains yang berlaku dalam era revolusi sains pada abad ke-19; idea pokok yang diutarakan dalam teori relativity membuahkan  penemuan-penemuan baru dalam kajian saintifik yang berunsur akal sepenuhnya atau yang disebut sebagai rationality. Idea relativity ini dikatakan membenarkan kesemua dapatan kajian-kajian ilmiah lain dan menganggap semua kajian tersebut benar sedangkan ianya bercanggah dalam teori epistemologi bahawa kebenaran itu hanyalah satu. Begitu juga dengan pelbagai isu-isu yang rencah dalam masyarakat hari ini dengan teori bumi leper, penentangan vaksin bagi golongan anti-vaksin dan isu pemanansan global yang semakin hari semakin membarah. Dari hasil dapatan mereka, faham kemajuan yang mereka anuti adalah melalui semangat perubahan sehinggakan perubahan yang mereka terus ikuti itu tiada nilai dan tidak mempunyai matlamat hujungnya.

Tidak ketinggalan juga, fenomena kalut yang turut juga berlaku dalam bidang agama. Anggapan-anggapan dari tokoh islamis sendiri bahawa semua agama itu sama yakni diakatakan sebagai pluralis, para agamawan yang celaru dalam istilah kafir, din, kalimah allah dan pelbagai lagi isu yang saban hari dihimpit oleh kaum intelektual islamis yang mana mereka semua ini berasal dari kepompong yang dianggap sebagai ‘islamis harakis’ iaitu goleongan yang memperjuangkan idea-idea reformasi, tajdid, nahdah, kebangkitan islam dalam bentuk gerakan islam dimana gerakan-gerakan ini mempunyai limitasi yang terlalu terhad dan bersikap selektif dalam menilai sumber ilmu terutama dalam tradisi intelekutal islam.

3.0 KERANCUAN ISLAMISME ABAD KE-20

Melangkah kembali dalam era abad ke 20, kemunculan gerakan tajdid, nahdah dan pelbagai lagi idea-idea perubahan yang diperjuangkan oleh gerakan islam bermula dari Ikhwan al-Muslimin di bawah pimpinan Hasan al-Banna, Jamaat al-islami yang diketuai oleh Abul ‘ala al-Maududi dan lain lain yang mengakibatkan tertutupnya pemikiran kaum muslimin dalam menggali khazanah-khazanah ilmu yang dikembangkan dalam tradisi islam yang sekian lama ini disambung dari generasi ke generasi berabad lamanya. Pada awal tahun 2000, kita boleh menyaksikan perpecahan yang berlaku dalam golongan islam harakis ini terasing dan membuat haluan masing-masing yang mana boleh dikatakan dalam 5 kelompok iaitu golongan yang masih berada dalam status quo harakah islamiyah, kelompok yang cuba memperjuangkan aliran liberal, golongan yang bertentang arah seperti anarkis, kumpulan yang mengambil pendekatan sebagai aktivis sepenuh masa dan golongan yang terlibat dalam industri populis.

3.1 STATUS QUO HARAKAH ISLAMIYAH

Golongan yang masih lagi kekal bersama harakah islamiyah ini atau dipanggil status quo dalam harakah ini masih memperjuangkan idea negara islam, pelaksanaan hukum hudud dan syariat islam yang dilihat masih kabur dalam merealisasikannya. Meletakkan komponen syariah sebagai teras utama sebagai peneraju dalam naratif nahdah ini sememangnya akan menemui jalan yang agak buntu sekiranya tidak menjalin gabungkan diantara komponen iman yakni ilmu kalam dan komponen ihsan yakni ilmu tasawwuf sebagai komponen yang komprehensif dalam membentuk naratif nahdah yang lebih baik.

3.2 ISLAM LIBERAL

Golongan ini menampakkan idea-idea yang lebih progresif dalam membina naratif tajdid yang lebih baik berbanding golongan status quo ini. Tokoh-tokoh seperti Rached Ghannoushi, Muhammad Abduh, Jamaluddin al-Afghani menampakkan idea-idea mereka lebih dinamik untuk diperbahaskan dan diwacanakan dengan lebih pesat dari pelbagai persperktif yang boleh diwacanakan. Namun, golongan ini mengambil pendekatan secara literalis serta membakul sampahkan naratif tradisi keintelektualan islam. Tambahan pula, mereka menyempitkan pendekatan dalam mengambil sumber ilmu dalam islam lalu mencedok tradisi keintekualan barat sebagai hujah dalam membentuk fondasi ilmu yang digagaskan. Seperti contoh, mengambil pendekatan maqasid syariah sebagai penyelesaian kepada kekeliruan yang berlaku dalam isu masyarakat hari ini tanpa mengambil kerangka fiqh yang besar dan stabil(establish) dalam tradisi empat mazhab besar dan juga menidakkan penggunaan usul fiqh sebagai kaedah berfikir dan kaedah mengistinbatkan hukum. Ini boleh menjadi suatu jenayah kepada ilmu samada mempelajarinya atau menyebarkannya dan sepatutnya ia perlu diberi penekanan pada ilmu-ilmu alat mencapai ilmu-ilmu maqasid yakni tafsir, hadis dan sebagainya.

3.3 AKTIVIS MUSLIM

Bagi kumpulan ini, mereka lebih cenderung untuk melakukan dan menjalankan misi kemanusiaan, kerja-kerja amal dalam membantu golongan yang tertindas. Mereka menjalankan projek komuniti di antara masyarakat dan badan NGO tertentu dalam membaik pulih keadaan samada dari sudut keadaan masyarakat, pendidikan, kewangan dan sebagainya. Mereka lebih cenderung dalam mengutamakan kebajikan rakyat dalam membantu mereka yang kesusahan. Aktiviti teras mereka adalah dengan mencari dana, berkempen untuk menghulurkan sumbangan dan mencari penyelesaian yang mungkin sebahagiannya bersifat jangka masa pendek dan ada juga yang bersifat jangka masa panjang memulihkan keadaan masyarakat.

3.4 ANARKIS

Bagi mereka yang bertentangan dari harakah islamiyah, mengambil pendekatan secara keras atau radikal dalam mengembalikan cita-cita yang diingini. Sebab itulah, dilihat ciri-ciri idea bagi golongan radikal ini mempunyai sedikit persamaan seperti mengembalikan khilafah, menegakkan daulah islamiyah akan tetapi pendekatan mereka ini agak syadid dan terlalu keras dalam mengembangkan idea-idea tersebut. Tambahan pula, pemahaman mereka terhadap nas al-quran dan hadis sememangnya diambil secara bulat-bulat tanpa menggunakan pendekatan morfologi, sintaksis dan semantik serta daya analitik yang betul menyebabkan pemaham tersebut melencong sehingga berlaku keganasan dan pertumpahan darah bagi insan yang tidak bersalah!

3.5 POPULIS

Golongan ini antara yang menjadi pemanis bicara dalam dunia dakwah islam masa kini. Hanya sekadar lulusan agama yang mungkin di antaranya ‘separuh masak’ sudah turun dalam menyebar kefahaman kepada masyarakat. Individu yang menggelarkan selebriti dakwah, pendakwah muda sinonim dengan golongan yang meraih sokongan dakwah mereka dari bilangan ‘retweet’, ‘likes’ dan komen yang banyak di media-media sosial. Menjadi masalah yang besar apabila golongan ini tanpa persediaan yang cukup dari ilmu terjun dalam arus media yang diputar belit ini menjadikan mereka sebagaimana yang dikatakan oleh pembentang sebagai ‘muslim televangelis’.

Tuntasnya, melihat pada kumpulan yang pelbagai ini, pada akhirnya yang cuba membentuk naratif nahdah teebahagi kepada 2 kelompok iaitu kumpulan yang digelar sebagai pasca islamis iaitu kumpulan yang berada dalam status quo harakah islamiyah yang memperjuangkan idea negara islam, hudud, syariah sebagai komponen utama dalam pembangunan dan suatu kelompok yang memperjuangkan idea reformasi dalam bentuk yang lebih progresif dan dinamik perbincangannya seperti muslim demokrat, islam progresif, anarkis dan lain-lain.

4.0 PERBEZAAN ASASI ISLAM DAN IDEOLOGI LAIN

Pembentangan dilanjutkan lagi dengan melihat kepada perbezaan antara islam dan ideologi lain. Perbezaan ini dilihat dari islam dan ideologi moden seperti modenisme dan juga pasca-modenisme.

Islam melihatkan bahawa islam sebuah agama yang membawa monotheisme iaitu sebuah agama yang berteraskan ketuhanan(ubudiyyah). Maka, peranan ilmu kalam dalam tradisi ilmu islam yang dibina oleh para ilmuwan islam menjadi suatu jambatan penting dalam memahami konsep ketuhanan dan juga konsep kenabian serta perkara-perkara sami’yyat.

Modenisme pula menunjukkan bahawa ideologi yang direka oleh manusia yang menganggap bahawa tuhan ini sudah mati; dikenali sebagai faham Nietzsche hasil dari kekecewaan mereka terhadap agama sewaktu zaman gelap(Dark Ages). Fahaman ini direka oleh manusia dan kepada manusia untuk menganutnya. Konsep ideologi ini melahirkan asas kerangka humanisme yang berteraskan kepada kepentingan manusia seperti hak asasi(human right), liberalisme dan sekularisme.

Pasca-modenisme ini melahirkan pula new human god iaitu kewujudan tuhan yang baru dalam kalangan manusia yang mana kerangka ideologi ini bukan lagi menjadikan mereka seperti seorang manusia bahkan menukar mereka kepada pemikiran seperti binatang(animalisme) seperti idea-idea LGBT, hedonisme, transhumanisme dan lain-lain.

WhatsApp Image 2019-03-23 at 18.12.19 (1)

5.0 REFORMASI NARATIF NAHDAH 2.0

Antara punca kelemahan harakah islamiyah dalam membangunkan peradaban ummah adalah kerana pengambilan yang terhad dalam sumber-sumber ilmu islam. Tambahan pula, mereka ini bersikap selektif menyebabkan sumber ilmu yang ada tadi disempitkan dengan kondisi masa dan zaman yang tidak lagi sesuai dengan sekarang. Lebih teruk lagi, sumber yang diambil itu difahami secara mentah dan dihadam bulat-bulat tanpa daya analitik dan menidakkan penggunan kaedah-kaedah tertentu dalam menghalusi karya-karya tersebut. Ini suatu kerugian buat ahli yang berkecimpung dalam harakah islamiyah kerana di sana wujudnya lompang yang sangat besar dalam memulihkan korupsi iman, fiqh dan penyucian jiwa dalam masyarakat muslim. Bagaimana mahu memperbaiki keadaan ini sekiranya gerakan tersebut kosong dalam memberi input kepada pembinaan peradaban ini. Maka benarlah, sesuatu yang kosong itu tidak boleh memberi apa-apa.

Jika kita lihat pada tokoh-tokoh liberal muslim yang jaguh membawa idea-idea islam progresif, golongan muslim literalis, kita dapati bahawa sumber mereka hanya terhad pada tokoh-tokoh mereka iaitu Ibn Taymiyyah dan Ibn Qayyim sekitar 1300 tahun, Muhammad ibn Abd Wahab dalam tahun 1800, Rasyid Rida, Jamaluddin al-Afghani dan Muhammad Abduh pada tahun 1900 hingga 2000. Jika disoroti idea-idea mereka ini, kita dapati bahawa karya mereka sangat terhad dan tidak komprehensif dalam pelbagai bidang. Kalau diikutkan zaman mereka diantara satu generasi kepada satu generasi ini terpisah. Lalu, bagaimanakah mereka boleh menyambung hasil tradisi ilmu mereka ini sedangkan tradisi ilmu islam yang perlu diperbetulkan minda kita adalah satu tradisi yang bersambung dan cukup dijaga keutuhannya. Suatu kesalahan bagi mereka yang mengatakan tradisi ilmu islam memiliki zaman gelap akibat dari era pencerahan barat. Ianya mitos!

Sekiranya disoroti benar-benar dengan penuh kejujuran, kita mendapati bahawa setiap zaman akan ada para ilmuwan berusaha menyambung salasilah tradisi ini dalam menjaga syiar agama agar tidak mati ditelan dengan ideologi yang sesat lagi menyesatkan mengikut perkembangan semasa yang dihadapi oleh mereka. Bermula dari tahun 700, bermulanya perkembangan kerangka idea fiqh dari mazhab yang empat yang tersusun dan sistematik, penyusunan metodologi kalam oleh Ash’ari dan Maturidi membantah hujah golongan muktazilah dan lain-lain sehinggalah ke zaman al-Ghazali yang membentuk dinamika ilmu yang pelbagai yang tersusun dan mudah untuk difahami lalu diteruskan oleh al-Juwayni, an-Nasafi, al-Razi, Taftazani, al-Iji, Sanusi, Ibn Khaldun, pada sekitar 1100 hingga 1500, diteruskan lagi oleh ulama’-ulama’ terkemudian sehingga tahun 1800.

Kesemua tokoh besar ini mempunyai kerangka berfikir yang jelas, tasawwur yang begitu mendalam dalam pembahagian konsep ilmu dan begitu banyak karya yang dihasilkan dan masih lagi boleh diwacanakan dan diperbincangkan secara panjang lebar pada hari ini sebenarnya.

 

neosiswa-14

Naratif sempit yang dipelopori oleh golongan pasca-islamis dalam memperjuangkan idea-idea perubahan masyarakat.

 

neosiswa-15

Silsilah tradisi intelektual islam yang bersambung sanadnya berkembang dalam kerangka tasawwur islam yang lebih luas dalam membangun peradaban dan kemajuan tamadun.

 

6.0 PERANAN TRADISI ILMU ISLAM

Setelah dilihat pelbagai kesan dan punca masalah yang berlaku pada hari ini, maka perlu digesa dan diingatkan bahawa tradisi ilmu islam bukan suatu tradisi yang terputus dan tiada matalmat hujungnya. Akan tetapi, tradisi inilah yang menstabilkan keadaan dari satu generasi ke generasi yang lain dari aspek pemikiran, praktikal serta etika mereka dalam berurusan dalam masyarakat.

Sekiranya kita menidakkan peranan besar tradisi ini, maka umat akan mudah terkeliru dengan fahaman asing dan mudah kehilangan identiti sebagi seorang muslim. Muslim pada hari ini akan hilang daya analisis dan rasionaliti dalam memikirkan masalaha yang berlaku. Mereka mudah untuk berfikir secara literal lalu menjadikan mereka sempit dan tidak mencabar; kritis dalam berfikir. Kerana ketiadaan kerangka berfikir oleh kaum muslimin, maka mereka mula tercari-cari dalam diri mereka sendiri dan mula terpesona dengan idea-idea barat yang kini sudah mula diagung-agungkan.

Alasan picisan yang timbul seperti menjadi kaum taqild yang buta, memandulkan akal, ini semua pengaruh Yunani, pertikaian hadis sahih- dha’if, pencerahan dan reformasi perlu digiatkan. Kesemua ini perlu diketepikan kerana tradisi ilmu islam sangat mengambil berat dalam penekanan penggunaan akal melalui kaedah dan rumuz yang benar dan juga pengambilan ayat quran dan sunnah sebagai hujah dijadikan sandaran dengan penuh pengamatan yang mendalam dan memerlukan integrasi ilmu yang pelbagai.

Kesimpulannya, penafian tradisi keintelektualan islam dalam aktivis mahasiswa sememangnya menjadi punca kebobrokan dalam membentuk matlamat akhir sebagai sebuah gerakan yang benar-benar menerajui masalah masyarakat. Oleh kerana kemuflisan ilmiyyah, kehampaan ruhaniyyah serta kergersangan peradaban yang berlaku dalam gerakan-gerakan islam hari ini, maka ianya menjadi suatu perkara yang sukar untuk dicapai dalam membentuk masyarakat yang lebih baik mengikuti ajaran quran dan sunnah serta sukar untuk berhadapan dengan ideologi-ideolgi yang mendatang dan menekan kaum muslimin baik dari dalaman mahupun luaran.

Wallahu a’lam.

Sekiranya terdapat sebarang kekhilafan di dalam penulisan ringkas ini, bolehlah menghubungi penulis di ruangan Facebook (Nik Amal) dan juga melalui media rasmi Neo-Siswa Universiti Malaya

Terima kasih.

 

#MahasiswaHibrid #NeoSiswaUM

#MufakkirDaiNegarawan

#GenerasiQudwah

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s