Isu semasa, Kalam Duta Neo Siswa

RASISME, APAKAH PENYELESAIANNYA?

Jumaat. Ogos 30, 2019

Sebagai suatu makhluk sosial, manusia terkadang merasakan satu kewajaran apabila memandang hubungannya dengan manusia yang lain serasa dibatasi dinding-dinding perbezaan secara fizikal ataupun bukan fizikal. Keseragaman fikiran manusia pada hari ini tentang wujudnya konsep perbezaan ras dan identiti adalah disebabkan banyak faktor yang perlu diperhatikan. Antaranya adalah kerana perbezaan warna kulit, agama, gaya pemikiran, ekonomi dan sebagainya. 

Faktor-faktor inilah yang menyebabkan Rasisme mengambil peluang menyerap masuk sekaligus merosakkan interaksi sosial masyarakat sehingga mereka akan merasakan kumpulan tertentu (samada kumpulan mereka ataupun tidak) adalah lebih bertamadun berbanding kumpulan lain. Yang lebih mengecewakan lagi apabila yang dikatakan kumpulan yang tidak bertamadun itu adalah dari kalangan diri mereka sendiri lalu timbullah perasaan rendah diri (inferiority complex) walhal banyak manfaat yang masyarakat sekeliling mampu memperoleh daripada diri mereka. 

Rasisme adalah frasa yang digunakan bagi menggambarkan kepercayaan seseorang terhadap kelebihan sesuatu ras atau bangsa itu lebih baik dari bangsa yang lain. Termasuk dalam kategori rasisme ini juga adalah sikap prejudis, diskriminasi serta permusuhan sesama umat manusia hanya kerana berbeza kaum dan etnik. Peristiwa-peristiwa buruk sudah banyak yang dibukukan punca daripada sifat rasisme yang teruk.

Tidak hairanlah sekiranya perkataan rasis ini telah digunakan dengan konotasi yang buruk sejak tahun 1940-an dan umum mengetahui label rasis yang digelarkan ke atas seseorang itu adalah satu hal yang kontroversial.

Konsep rahmat bagi seluruh alam sudah cukup untuk menggambarkan bahawa dasar, konsep dan tujuan islam tidak terikat dengan semangat perkauman dijadikan akidah perjuangan. Islam bukanlah terbatas hanya untuk sesuatu kaum yang tertentu. Walaupun Qarun yang sesat itu sebangsa dengan Nabi Musa A.S tetapi itu bukanlah perkiraan utama yang dipandang oleh Allah S.W.T. Allah S.W.T menetapkan kewujudan bangsa supaya umat islam saling lengkap melengkapi antara satu sama lain meskipun berbeza ras dan bangsa. Firman Allah S.W.T :-

يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُم مِّن ذَكَرٍ وَأُنثَىٰ وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِندَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ

Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu). (Al-Hujurat 49:13)

Demikianlah juga Allah S.W.T menegaskan bahawasanya kewujudan perbezaan bangsa adalah merupakan salah satu dalil ketuhanannya.

وَمِنْ آيَاتِهِ خَلْقُ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَاخْتِلَافُ أَلْسِنَتِكُمْ وَأَلْوَانِكُمْ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيَاتٍ لِّلْعَالِمِينَ

Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaanNya dan kebijaksanaanNya ialah kejadian langit dan bumi, dan perbezaan bahasa kamu dan warna kulit kamu. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan bagi orang-orang yang berpengetahuan. (Ar-Rum 30:22)

Sebagai sebuah negara masyarakat majmuk, Malaysia juga tidak ketinggalan dengan isu perkauman yang sentiasa dipanggungkan di dalam berita nasional dan isu semasa. Ianya terkadang mengheret mahasiswa turut sama terlibat merancakkan lagi plot penceritaan isu perkauman di negara ini. Justeru untuk menjawab persoalan yang banyak tentang bagaimanakah perkara ini berlaku, ada bagusnya kalau kita menjawab terus bagaimanakah penyelesaiannya yang perlu dilakukan khususnya bagi mahasiswa. Supaya tidaklah terlalu panjang dan melarut penulisan ini. Antara yang boleh dilakukan sebagai seorang mahasiswa bagi mengelakkan perasaan perkauman yang melampau itu wujud adalah :-

MENAMBAH PENGETAHUAN TENTANG BUDAYA SESUATU KAUM.

Pengetahuan tentang kepelbagaian budaya ini sebenarnya mengundang kepada perasaan untuk menghargai keistimewaan dan kelebihan kaum yang lain. Ini kerana ianya mampu membuka minda manusia untuk menerima hakikat bahawasanya setiap kaum itu mempunyai kelebihan yang tersendiri. Gunakanlah sebaiknya persatuan-persatuan berasaskan kaum yang ada di kampus untuk menggarap sebanyak yang mungkin tentang budaya sesuatu kaum. Perkara ini bukan sahaja perlu dilakukan oleh kaum majoriti kepada kaum minoriti, tetapi ianya juga perlu dilakukan oleh sebaliknya agar wujud timbal balik yang tara dan seimbang.

MENGHAYATI SEJARAH NEGARA SECARA KESELURUHANNYA.

Kerapuhan informasi tentang sejarah negara boleh menyebabkan mahasiswa tidak teragak-agak untuk mengulangi semula peristiwa-peristiwa buruk yang pernah dialami oleh tanah air yang tercinta ini. Sudah pasti sebagai mahasiswa yang benar-benar cintakan watan tidak akan sekali-kali ingin memutar kembali sejarah 13 Mei. Begitulah sejarah memperlihatkan bagaimana sebenarnya sifat perkauman yang begitu kuat mampu mendorong kepada permusuhan dan ketidak seimbangan politik. Mahasiswa yang mampu menilai dengan baik terhadap sejarah nusa, dapat menyimpulkan banyak perkara yang perlu dan tidak perlu dalam segala tindak-tanduk bagi menjamin perpaduan kaum di Malaysia.

CAKNA KEADAAN POLITIK, EKONOMI DAN ASPEK SOSIAL DALAM NEGARA.

Penilaian yang adil terhadap isu perkauman memerlukan kita untuk memahami secara teliti dari aspek sosial yang merangkumi keadaan politik, ekonomi kaum, geopolitik dan sebagainya. Adil yang dimaksudkan adalah meletakkan sesuatu pada tempatnya tanpa menzalimi mana-mana pihak. Dengan penilaian yang adil, mahasiswa mampu membezakan dan mencari punca sesuatu masalah serta jalan penyelesaiannya. Bukan hanya menilai secara liberal dan mata kasar serta membuta tuli semata. Sangat merisaukan sekiranya masyarakat masih mudah termakan dengan provokasi tanpa meneliti dan memeriksa lebih jauh fata-fakta yang ada.

MENGHAYATI DAN MEMPERAKTIKKAN NILAI AGAMA.

Seperti yang telah diperjelaskan tentang hikmah Allah S.W.T menciptakan kepelbagaian bangsa dan kaum, umat islam khususnya perlu lebih berhati-hati di sebalik pergelutan isu perkauman. Islam adalah penyelesaian yang terbaik bagi umat manusia untuk mengharmonikan hubungan antara kaum. Ketidakfahaman tentang islam bukan sahaja memperbalahkan manusia antara kaum tetapi juga menimbulkan ketegangan dan konflik walaupun mereka adalah dalam satu kaum yang sama. Samada mengkhianati, berkepentingan sendiri ataupun yang lainnnya. Sejarah “Ganyang Malaysia” dahulu sudah cukup untuk membuktikan sebenarnya permusuhan juga boleh berlaku sesama bangsa. Namun sikap Islam yang ditonjolkan oleh Buya Hamka dalam menangani isu ini perlu kita teladani. Beliau tidak sesekali mengikut acuan pemikiran komunisme yang menjalar di Indonesia yang membangkitkan amarah dan sifat rakus melampau. Sebaliknya, hubungan baik tetap diteruskan beliau dengan Malaysia.

Di dalam Islam sudah pastinya sikap hormat-menghormati perlulah sebati dalam jiwa seseorang apabila berhadapan dengan perbezaan terutamanya yang melibatkan kelainan bangsa dan ras. Memanggil dan menggelar sesuatu kaum dengan panggilan yang jelek juga bukanlah perkara yang baik untuk diamalkan. Toleransi juga antara komponen penting untuk mewujudkan interaksi antara kaum yang harmoni dan sejahtera. Adakala toleransi perlulah bersifat inklusif dan menyeluruh. Dalam erti kata lain, untuk mewujudkan sikap toleransi dalam diri maka adalah perlu untuk kita memandang sesuatu isu dan permasalahan itu dari pelbagai sudut dan aspek. Misalnya, di dalam sebuah zoo adakah patut Singa diberi makan daun-daun sama seperti Zirafah hanya kerana untuk dikatakan sebagai seorang yang bertoleransi dalam mewujudkan kesamarataan? Sudah tentunya tidak. Begitulah hidup dalam masyarakat majmuk keperluan ekonomi, sosial, taburan penduduk tidak seharusnya dipandang enteng. 

Begitu banyak hikmah dan pengajaran penciptaan manusia oleh Allah S.W.T dalam pelbagai jenis dan kaum. Orang yang cetek akalnya hanya menganggap perbezaan intu hanya zahir pada warna kulit dan fizikal semata. Tetapi sebenarnya perbezaan itu juga sebenarnya merangkumi kelebihan dan kekurangan sesuatu kaum yang perlu dimanfaatkan bukan didiskriminasikan, ditindas dan sebagainya.

هُمْ يَقْسِمُونَ رَحْمَتَ رَبِّكَ نَحْنُ قَسَمْنَا بَيْنَهُم مَّعِيشَتَهُمْ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَرَفَعْنَا بَعْضَهُمْ فَوْقَ بَعْضٍ دَرَجَاتٍ لِّيَتَّخِذَ بَعْضُهُم بَعْضًا سُخْرِيًّا وَرَحْمَتُ رَبِّكَ خَيْرٌ مِّمَّا يَجْمَعُونَ

(Mengapa pemberian Kami itu mereka ingkarkan?) Adakah mereka berkuasa membahagi-bahagikan (perkara-perkara keruhanian dan keagamaan yang menjadi sebesar-besar) rahmat Tuhanmu (wahai Muhammad, seolah-olah Kami hanya berkuasa dalam perkara kebendaan dan keduniaan sahaja? Mereka tidak ingkarkan): Kami membahagi-bahagikan antara mereka segala keperluan hidup mereka dalam kehidupan dunia ini, (setengahnya Kami jadikan kaya raya dan setengahnya miskin menderita); dan juga Kami telah menjadikan darjat setengah mereka tertinggi dari darjat setengahnya yang lain; (semuanya itu) supaya sebahagian dari mereka senang mendapat kemudahan menjalankan kehidupannya dari (bantuan) setengahnya yang lain. Dan lagi rahmat Tuhanmu (yang meliputi kebahagiaan dunia dan akhirat) adalah lebih baik dari kebendaan dan keduniaan semata-mata yang mereka kumpulkan. (Az-Zukhruf 43:23)

Ibnu khaldun juga menyatakan bahawa sebenarnya ciri-ciri kepelbagaian dalam masyarakat manusia itu bersifat madani. Untuk mendirikan sebuah banggunan sahaja, di situ mungkin perlunya kelebihan kumpulan-kumpulan yang lain dengan kelebihan masing-masing dimanfaatkan sebaik mungkin.

Mereka yang sengaja menutup mata dan mempunyai kepentingan kumpulan tertentu sahaja yang tidak mahu menerima hakikat bahawa Islam punya penyelesaian. Pelik, seorang yang dikatakan mindanya terbuka tetapi masih tertutup untuk menerima penyelesaian dari Tuhan Yang Maha Esa. Mereka jumud dalam pemikiran dan nafsu mereka.

Sering diperkatakan kebanyakan orang, jalan penyelesaian yang singkat bagi menyelesaikan masalah ini adalah cukup dengan hanya membunuh identiti bangsa-bangsa yang ada kemudian kita tubuhkan satu bangsa baru yang meliputi dan mencakupi kesluruhan masyarakat. Ianya mungkin realistik tetapi sangat idealistik untuk mewujudkannya dalam jangka masa yang singkat. 

Suatu ketika dahulu, konsep Malaysian Malaysia yang diperjuangkan oleh PAP (People’s Action Party) yang mendapat tentangan hebat ketika itu adalah satu gambaran bagaimana sesuatu negara perlu dibentuk tanpa ada perasaan dari sesuatu kaum untuk menjadi ketua kepada kaum-kaum yang lain. Secara kasarnya, mungkin ini adalah satu perkara yang  baik. Tetapi mengapakah masyarakat melayu pada ketika itu menentangnya? Tidak lain kerana dengan kewibawaan dan penguasaan kaum cina terhadap ekonomi, pendidikan dan dalam semua hal bidang. Pendek kata, hak keistimewaan melayu adalah benteng terakhir kaum melayu bagi mempertahankan kedudukan mereka di Tanah Melayu. 

Bagaimanakah situasi sekarang? Adakah masyarakat melayu sudah maju dari segala hal dan bidang untuk kita merasakan relevannya konsep ini dilaksanakan? Sekiranya tidak, adakah kaum lain bersedia untuk menyumbang serta mengorbankan harta dan kekayaan serta kepakaran mereka untuk menaiktaraf ekonomi kaum lain agar sama dan seimbang sebelum idea ini dijalankan? Jika tidak, satu hal yang perlu dipertikaikan ialah keseimbangan yang bagaimanakah ingin diperjuangkan?

Tidak menjadi kesalahan untuk sesiapa sahaja sayang dan kasihkan keluarga samada dalam kelompok yang kecil, sehinggalah keluarga yang besar, kemudian bangsa atau kaumnya. Tetapi jangan terlepas pandang bahawasanya seluruh manusia itu juga adalah keluarga besar di bawah kerajaan Allah S.W.T.

_
Senyum,
Luqman Syahbudin,
Duta Neo-Siswa Universiti Malaya.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s