Ekonomi, Intelek, Isu semasa

[FORUM BELANJAWAN : KENAIKAN PERUNTUKAN TAHUNAN UNIVERSITI MALAYA SEBANYAK RM 57 JUTA]

Pada hemat kami, isu mahasiswa khususnya berkenaan kebajikan ialah isu ‘evergreen’ (malar hijau) yang akan sentiasa melatari corak dan perjalanan sepanjang kita bergelar seorang penuntut. Namun begitu, yang menjadi faktor pembeza ialah keupayaan kita dalam merangka dan menyediakan solusi kepadanya.

Maka kami, Neo-Siswa Universiti Malaya menyambut baik usaha Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (KMUM) dalam mengumpul suara kolektif mahasiswa untuk diberdayakan usaha-usaha menatijahkan penyelesaian masalah secara tuntas.

Bagi perbincangan kali ini, Neo-Siswa berpendapat bahawasanya, pihak KMUM perlu mengklasifikasikan isu-isu kebajikan mahasiswa kepada dua bahagian:

Pertama, isu yang lestari (sustainable) yang jika diselesaikan, hal ini akan memberikan impak jangka masa panjang.

Kedua, isu yang tidak lestari yang boleh diselesaikan menerusi alternatif lain selain daripada peruntukan tahunan universiti.

Memandangkan peruntukan universiti ini adalah bersifat tahunan dan tidak dapat dijangka kadarnya bagi tahun-tahun mendatang, maka lebih sesuai untuk ditumpukan penyelesaian kepada isu yang lebih lestari agar manfaat yang diperolehi mahasiswa adalah secara menyeluruh dan berjangka masa yang lama

1. Isu Penempatan Mahasiswa UM – Penubuhan Kolej Kediaman Ketiga Belas (KK13)

Sepanjang pemerhatian, kita selaku mahasiswa UM saban tahun dibelenggu masalah penempatan. Kami ada mendengar ura-ura cadangan untuk menubuhkan KK13 di kampus UM Kuala Lumpur sebagai penyelesaian kepada isu penempatan ini. Namun sehingga kini, kita masih kurang jelas dengan status cadangan tersebut.

Maka di sini, kami mencadangkan agar pemegang taruh UM meneliti cadangan ini dan memberikan penjelasan sebenar sama ada berita ini benar ataupun sebaliknya. Jika tidak benar, kami dengan sukacitanya mencadangkan penubuhan KK13 ini agar direalisasikan.

Kami menyambut baik usaha KMUM menyediakan rumah KMUM sebagai inisiatif yang bernas, namun masih belum mampu menampung kuantiti mahasiswa UM yang melebihi kuota penempatan yang disediakan oleh pihak kolej agar rakan-rakan mahasiswa kita tidak terbeban dengan kos sara hidup yang tinggi jika terpaksa menyewa di luar.

Seterusnya, jika berita penubuhan KK13 ini benar, maka kami mencadangkan beberapa mekanisme supaya pelaksanaannya benar-benar mampu menyelesaikan isu penempatan ini.

Pertama, kolej ini perlu diterapkan kaedah penyaringan dan penempatannya seperti sistem pelaksanaan rumah KMUM dengan mengutamakan pelajar-pelajar senior UM yang mempunyai kenderaan sendiri. Pensyaratan ini penting kerana ketika ini, masalah tentang kemudahan bas di dalam kampus masih belum dapat diselesaikan, inikan pula bagi kolej yang berada di luar yang perlu menghadapi situasi kesesakan lalu lintas.

Kedua, perlu diteliti adakah KK13 ini memerlukan Jawatankuasa Tindakan Kolej (JTK) ataupun tidak. Jika ya, maka perlu dicermati adakah peranan dan fungsinya sama seperti JTK di kolej lain? Jika tidak, maka bagaimanakah kita mahu selaraskan dan licinkan pengurusan di KK13 tersebut? Perkara ini perlu dibincangkan dengan lebih mendasar bersama pihak pemegang taruh.

Ketiga, yuran yang dikenakan kepada penghuni KK13 harus dinilai semula kadar dan kewajarannya. Perbincangan ini perlulah menitikberatkan beberapa faktor seperti keperluan bayaran kemudahan bas, keperluan bayaran yuran JTK, dan sebagainya.

2. Isu Mahasiswa Dihimpit Kos Sara Hidup – Pemerkasaan ‘UM Endowment Fund’

Di tengah kota metropolitan yang tidak berhenti meningkatnya kos sara hidup, ribuan orang mahasiswa UM yang hadir dari pelbagai latar belakang kian dihimpit masalah kewangan. Kos sara hidup ini tidak hanya memberikan kesan kepada jadual dan gaya pemakanan, malah jadual harian yang terpaksa ditambah dengan kerja separuh masa dan sebagainya. Kami melihat, isu ini ialah isu yang konsisten melanda mahasiswa di mana-mana kampus sekalipun.

Beberapa bulan lalu, isu mahasiswa UM mengikat perut dan menahan lapar mendapat liputan meluas oleh media dan pihak luar. Berduyun-duyun bantuan berbentuk kewangan mahupun barangan diberikan kepada rakan-rakan kita yang berkenaan. Namun begitu, sampai bila kita mahu bergantung kepada isu yang bermusim seperti ini untuk mendapatkan dana bagi meringankan bebanan mahasiswa?

Maka, kami Neo-Siswa UM mencadangkan penyelesaian yang lestari, iatu dengan memperkasa ‘UM Endowment Fund’ (UMEF). UMEF ini sebenarnya berasal daripada idea dan perangkaan yang dicadangkan oleh pihak Neo-Siswa kepada pihak pentadbiran UM menerusi penubuhan ‘UM Awqaf’.

Penjenamaan semula ini dilihat mempunyai kesamaran dari sudut transparensi dan hala tuju dana itu disalurkan. Pihak KMUM boleh menuntut akauntabiliti daripada pihak pentadbiran universiti berkenaan pelaksanaan UMEF ini agar kita dapat mengetahui secara jelas ke manakah wang itu diagihkan serta dapat memastikan dana itu menjadi sebuah solusi jangka masa panjang terhadap isu kebajikan mahasiswa.

Berkenaan perbincangan agihan peruntukan tahunan universiti, kami mencadangkan sebahagiannya digunakan untuk menambah baik pengurusan UMEF ini, khususnya berkenaan publisiti dan capaian maklumatnya agar bukan hanya golongan korporat sekitar Kuala Lumpur sahaja mengetahuinya, malah bangsawan dan dermawan dari seluruh pelusuk tanah air mendapat info untuk saluran sumbangan ini.

تُؤْخَذُ مِنْ أَغْنِيَائِهِمْ وَتُرَدُّ عَلَى فُقَرَائِهِمْ

“Diambil harta daripada golongan kaya dan dibahagi-bahagikan kepada fakir miskin.”

Islam mencadangkan solusi dengan sistem aliran zakat, iaitu kita menyalurkan lebihan daripada golongan yang kaya kepada golongan yang memerlukan. Maka, di sini perlunya kreativiti dan kebijaksanaan dalam memanfaatkan golongan korporat dan bangsawan di Malaysia.

3. Isu Kemudahan Perkhidmatan Bas – Mengembalikan Kontrak Bas Ulang-Alik (Shuttle Bus) UM “Nadi Putra”

Kemudahan bas ini menjadi permasalahan yang diperdebatkan saban tahun bagi mahasiswa UM yang menetap di kolej. Tahun-tahun kebelakangan ini, peruntukan UM yang dipotong oleh kerajaan menjadi alasan oleh pihak pentadbiran universiti mengapa kemudahan bas dikurangkan jadualnya.

Pihak KMUM menjelaskan bahawa mereka telah menyertakan cadangan ini dalam ‘proposal’ (usul) tuntutan KMUM supaya kenaikan peruntukan universiti digunakan untuk kebajikan mahasiswa. Kontrak untuk membawa kembali perkhidmatan bas Nadi Putra ke dalam kampus UM menelan kos sebanyak RM1.3 juta setahun.

Maka, kami mencadangkan agar pihak KMUM menambah tuntutan agar diagihkan peruntukan sebanyak RM6.5 juta bagi menandatangani kontrak perkhidmatan Nadi Putra selama lima tahun sekaligus.

Cadangan ini mempunyai beberapa asas penting.

Pertama, isu kemudahan bas bagi mahasiswa dapat diselesaikan secara lestari dengan mengambil peluang dan kesempatan kenaikan peruntukan universiti yang tinggi ini.

Kedua, tempoh lima tahun kontrak itu dapat memberi kita ruang dan peluang menggesa Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) untuk meningkatkan jumlah pemandu bas bagi kampus UM. Hal ini demikian kerana, didapati pihak pentadbiran universiti pernah mengusahakan perkara ini, namun pihak SPA telah mengehadkan bilangan pemandu bas UM.

Ketiga, tempoh lima tahun ini mampu memberikan peluang kepada pihak universiti untuk menjana pendapatan sendiri bagi menampung kos kontrak perkhidmatan bas ini bagi tahun-tahun mendatang sebelum berakhirnya kontrak sedia ada.

4. Students’ Union – Pemerkasaan Akauntabiliti Menjadi Perjuangan ‘Students’ Union’

Kami berpendapat, pemberian status autonomi universiti kepada mahasiswa adalah antara pengupaya utama transformasi pendidikan negara. Kita dapat memperkasakan mahasiswa dengan memberikan ruang dan peluang mengurus selia perkara yang menjadi hak dan tanggungjawab mereka. Keberhasilan perjuangan menyelesaikan isu kebajikan mahasiswa UM pada sesi kali ini dilihat berpokok pangkal daripada kejituan gerak kerja KMUM serta sokongan padu daripada komponen gerakan mahasiswa yang lain.

Maka, kami yakin dan percaya, pemerkasaan kesatuan mahasiswa mampu menatijahkan kecekapan dalam menyediakan solusi bagi sebarang permasalahan yang berlaku, khususnya melibatkan hal ehwal mahasiswa.

Autonomi mahasiswa ini bukan semata-mata penurunan kuasa daripada Lembaga Pengarah Universiti kepada mahasiswa dalam aspek-aspek tertentu sahaja, namun perlu dijunjung dengan akauntabiliti dalam urus selia, baik di pihak pentadbiran mahupun pihak kesatuan mahasiswa itu sendiri.

Akauntabiliti ini sangat wajar dituntut daripada pihak pentadbiran universiti agar berlakunya transparensi dan integriti yang dipertanggungjawabkan ke atasnya, agar kita selaku klien kepada pihak pentadbiran mengetahui ketelusan terhadap pengurusan, khususnya berkenaan agihan peruntukan kerajaan dan perbelanjaan universiti.

Akauntabiliti ini amat selari dengan prinsip keadilan yang digariskan Islam iaitu

وضع الشيء في مكانه

“Meletakkan Sesuatu pada tempatnya”

Wang yuran yang dilunaskan oleh mahasiswa seharusnya diberikan kebertanggungjawaban menerusi transparensi.

Pada masa yang sama, kita juga perlu sedar bahawa pemberian autonomi kepada mahasiswa ialah berkonsepkan ‘earned autonomy’ yang bermaksud, mahasiswa perlu membuktikan keupayaan memikul kebertanggungjawaban dalam aspek tertentu dengan kewajaran dan ketelusan. Justeru, pihak KMUM dan kumpulan gerakan mahasiswa juga tidak terkecuali dalam menjunjung akauntabiliti ini dalam pengurusan serta gerak kerja.

Namun setakat ini, kami perhatikan wawasan dan gagasan yang dibawa dan diperjuangkan adalah berfokus kepada autonomi semata-mata. Jikalau ada sekalipun, tidak ditonjolkan dan diuar-uarkan keberadaannya dalam nadi perjuangan KMUM. Keberjayaan kesatuan mahasiswa ini tidak dapat tidak perlu diraih menerusi kesinambungan autonomi dan akauntabiliti.

Maka, kami menyeru KMUM memperjuangkan ‘students’ union’ (kesatuan mahasiswa) ini dengan menjunjung autonomi dan akauntabiliti secara seiringan dan senada.

Hakikatnya, isu kebajikan mahasiswa yang menjadi teras perjuangan kesatuan dan gerakan mahasiswa ini memerlukan komitmen yang jitu tanpa mengira latar belakang dan aliran pegangan politik kampus. Maka, Neo-Siswa menyambut baik dan menyokong segala usaha untuk menegakkan hak kebajikan mahasiswa dan memperkasa kesepaduan mahasiswa.

Akhir kalam, Neo-Siswa menegaskan bahawa gerakan kami sentiasa menjunjung tinggi kebajikan mahasiswa dan Insya-Allah, sentiasa berusaha untuk mampu menyediakan solusi yang bernas dan tuntas. Di samping itu, kami juga berharap dan menyeru agar semua mahasiswa kembali bersatu padu dalam memartabatkan kesatuan kita, khususnya dalam menyelesaikan sebarang permasalahan yang timbul.

Harapan buat pemegang taruh, teruskanlah usaha mengumpul suara dan perbincangan yang kolektif tanpa mengabaikan suara minoriti.


Disunting oleh

Azrie Ezaidi bin Rohaidee,

Mahasiswa Tahun 2,

Wakil Neo-Siswa Universiti Malaya.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s