Dakwah, Kalam Duta Neo Siswa

MAULIDUR RASUL 1441H

12 Rabiul Awal ialah hari yang amat istimewa; terpahat dalam ingatan umat Islam dan juga detik teragung dalam sejarah Islam. Rasulullah SAW dilahirkan membawa rahmat ke seluruh alam sebagai contoh teladan kepada umat manusia seluruhnya.

Kita umat Islam sebagai umat Nabi Muhammad SAW seharusnya memperingati kelahiran Rasulullah SAW. Tidak dilupakan juga, pada tarikh dan hari yang sama jugalah berlakunya kewafatan baginda Rasulullah SAW.

Justeru, jika kita dapat menelusuri sirah perjalanan hidup dari awal kehidupan baginda sehinggalah ke hari kewafatan baginda, kita akan dapat membayangkan betapa panjangnya perjuangan menyampaikan Islam kepada seluruh umat manusia, khususnya masyarakat di Mekah, Madinah, dan Tanah Arab pada ketika itu.

Baginda memulakan episod dakwah pada awalnya dengan meneguhkan elemen teras dan utama dalam ajaran Islam, iaitu akidah dalam kalangan kelompok sasaran dakwah baginda SAW.

Akidah merupakan suatu perkara yang paling penting dalam perjuangan Islam dan merupakan suatu kekuatan utama yang mesti dimiliki setiap umat Islam agar jalan yang didukungi ini tidak lari daripada matlamat asal serta tidak bercanggah daripada landasan yang telah digariskan oleh Islam.

Menyedari betapa pentingnya kekuatan akidah ini memperlihatkan kita melalui sirah baginda Rasulullah SAW; betapa kuatnya keimanan dan ketabahan generasi para sahabat ridwanullah ‘alayhim ajma‘in (reda Allah ke atas mereka keseluruhannya) bersama-sama dengan baginda dalam usaha menyampaikan Islam dan memahamkan masyarakat Arab Jahiliah pada waktu tersebut.

Jadikanlah dalam diri kita ini mampu menegakkan kebenaran agama Islam melalui teguhnya ikatan akidah Islam, iaitu dengan mendalami ilmu akidah sepenuh jiwa bagi menunaikan kewajipan fardu ain setiap manusia dalam menuntut ilmu akidah.

Barulah dapat kita mengenal Allah SWT secara sebenar-benarnya dan seterusnya, mengikuti Habibullah al-Mustafa Sayyiduna Muhammad SAW.

قُلۡ إِن كُنتُمۡ تُحِبُّونَ ٱللَّهَ فَٱتَّبِعُونِی یُحۡبِبۡكُمُ ٱللَّهُ وَیَغۡفِرۡ لَكُمۡ ذُنُوبَكُمۡۚ وَٱللَّهُ غَفُورࣱ رَّحِیمࣱ
Katakanlah (wahai Muhammad), “jika benar kalian mengasihi Allah, maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kalian serta mengampunkan dosa-dosa kalian. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”
[Surah Ali ‘Imran, 3: 31]

Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim daripada Anas:
ثَلاثٌ مَنْ كُنَّ فِيْهِ وَجَدَ ِبهِنَّ حَلاوَةَ الإْيمَان: أَنْ يَكُوْنَ اللهُ وَرَسُوْلُهُ أَحَبَّ إِلَيْهِ ِمَّما سِوَاهُمَا وَأَنْ يُحِبَّ المَرْءَ لايُحِبُّهَ إِلا ِللهِ وَأَنْ يَكْرَهَ أَنْ يَعُوْدَ فِى الكُفْرِ بَعْدَ أَنْ أَنْقَذَهُ اللهُ مِنْهُ كَمَا يَكْرَهُ أَنْ يُقْذَفَ فِى النَّارِ
“Sesiapa yang memiliki tiga perkara ini, nescaya dia akan dapat merasai kemanisan iman; iaitu dia mengasihi Allah dan Rasul-Nya lebih daripada yang lain, dan dia mengasihi seseorang semata-mata kerana Allah, serta dia benci untuk kembali kepada kekufuran selepas dia diselamatkan oleh Allah daripadanya sebagaimana dia benci dicampakkan ke dalam api neraka.”

Kesimpulan yang dapat diambil sempena hari kelahiran insan agung Rasulullah SAW ialah:

Pertama: Kita hendaklah bersyukur dengan anugerah Islam dan iman hasil pengorbanan Nabi Muhammad SAW dalam menyebarkan ajaran Islam.

Kedua: Kita hendaklah berusaha bersungguh-sungguh meneladani sirah Rasulullah SAW dan mengamalkan sunnah yang telah ditunjukkan Baginda.

Ketiga: Kita dituntut menyantuni seluruh manusia termasuk yang bukan Islam dengan akhlak baik bagi mempamerkan kemuliaan Islam.


Penulis,

Muhammad Ikram Bin Mohd Zulkepli

Pengerusi Duta Neo-Siswa UM

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s