Intelek, Isu semasa, Siyasah

Surat Terbuka buat Dato’ Dr Noraini Ahmad

Azrie Ezaidi

Ke hadapan YB Dato’ Dr Noraini sebagai Menteri Pengajian Tinggi Malaysia, saya menulis warkah terbuka ini sebagai seorang mahasiswa biasa namun mempunyai harapan tinggi terhadap masa hadapan institusi pengajian tinggi negara. Surat ini tidak lain tidak bukan menyentuh berkenaan penganjuran pertandingan Tik-Tok untuk anak muda mengisi masa sepanjang tempoh PKP. Cadangan tersebut saya lihat amat tidak profesional dan mampu meruntuhkan imej dan nilai intelektual mahasiswa.

Surat ini bukanlah berbaur kecaman, sebaliknya sebagai kritikan membina bukan sahaja untuk YB Menteri, juga untuk seluruh penuntut ilmu di institusi pengajian tinggi yang gagal memenuhi tempoh PKP ini dengan aktiviti ilmiah dan bermanfaat.

YB Dato’, justeru sebelum saya mengulas lanjut, suka untuk saya menekankan salah sebuah konsep asas falsafah pendidikan kebangsaan (FPK) iaitu mengenai ilmu, nilai dan peranannya dalam pembangunan insan dan masyarakat.

Merujuk buku Peranan Universiti, nukilan Prof. Wan Mohd Nor yang merupakan pengasas dan bekas pengarah Pusat Kajian Tinggi Islam, Sains dan Peradaban (CASIS) Universiti Teknologi Malaysia (UTM), menggariskan tiga proposal wajib bagi institusi pengajian tinggi dalam membina ketamadunan masyarakat.

Salah satunya adalah perlunya sesebuah institusi pengajian tinggi diterajui oleh seorang pemimpin akademik yang berkaliber dari sudut penguasaan ilmunya.

Azrie Ezaidi

Institusi pengajian tinggi seharusnya menjadi tanda aras ketertinggian intelektual dan ketamadunan masyarakatnya. Nilaian universiti terbaik adalah universiti yang mampu menghasilkan impak bukan sahaja terhadap warganya sahaja malah turut mempengaruhi masyarakat umumnya. Mahasiswa hari ini mempunyai masalah kebuntuan dalam membina jati diri dan jiwa bakti. Maka, pengembalian semula jawatan Menteri khusus untuk memacu institusi pengajian tinggi sememangnya diperlukan buat masa kini.

Berbalik kepada proposal Prof. Wan Mohd Nor, saya melihat peneraju KPT iaitu YB Dato’ sendiri perlu menjadi suri teladan yang ditagihkan mahasiswa sebagai simbol kepada pelbagai ekspektasi masyarakat terhadap proses penghasilan barisan intelektual di hari muka.

Ekspektasi masyarakat agar mahasiswa menjadi jurubicara ummah, ejen perubahan komuniti, entiti semak dan imbang kepada badan eksekutif sehinggalah kepada peranan sebagai golongan pendesak.

Azrie Ezaidi

Jikalau justifikasi YB Dato’ Noraini menganjurkan pertandingan video TikTok adalah untuk menyelami pemikiran dan jiwa mahasiswa era kini serta kononnya kaedah moden untuk berkomunikasi dengan mahasiswa, maka benarlah masih jauh lagi perjalanan kita dalam membina anak muda yang bertamadun.

Ruang ilmu dan intelektual adalah landasan terbaik untuk menjiwai mahasiswa. Arus kemodenan tidak seharusnya menjadi tembok pemisah bagi membudayakan mahasiswa dengan kerangka keilmuan, bukan aktiviti hedonisme yang merosakkan akal.

Waktu luang dan kosong sepanjang PKP perlu diuruskan dengan budaya yang menyegarkan minda dan jiwa sehari-hari. Bukan dengan merakam joget tari atau aksi yang merendahkan martabat mahasiswa.

Azrie Ezaidi

Bagi tindakan segera, saya mencadangkan agar pertandingan tersebut dibatalkan, atau jika mahu teruskan juga disarankan agar YB meletakkan garis panduan dan tatacara yang berhemah dan beretika untuk setiap rakaman yang dimuat naik peserta.

1. Kemiskinan mahasiswa dalam memiliki minat membaca dan bereksplorasi.

Di sini, YB Menteri boleh berkolaborasi dengan Perpusatakaan Negara Malaysia dengan menganjurkan sebarang aktiviti mahupun pertandingan berteraskan budaya membaca. Pada waktu yang sama, kita dapat mempromosikan karya-karya dan terbitan khususnya hasil tinta ilmuan tempatan. Kalau mahukan jiwa muda dan citarasa era moden, mungkin YB boleh membuat galakan membaca dengan kaedah ‘challenge’ di platform media sosial.

2. Kemalasan dan kurangnya motivasi mahasiswa dalam berkarya dan melontarkan idea.

Ilmu akan beku dan sebu jika hanya berlegar di dalam otak sebelum beransur-ansur hilang dimakan zaman. Menulis dan berkarya menjadi sebuah lapangan ekspresi jiwa terbaik di saat kebuntuan dan keseorangan. Maka YB Dato’ boleh memberikan dorongan dan motivasi untuk mahasiswa berkarya. Perkenalkan juga kepada mahasiswa kini betapa ramainya sasterawan dan intelektual negara yang patut dijadikan model berbanding ilmuan Barat.

3. Masalah kesihatan mental mahasiswa yang kian parah akibat penjarakan sosial PKP.

Bagi isu kesihatan mental, saya mencadangkan KPT berkerjasama dengan bahagian kaunseling di universiti masing-masing bagi memantau perkembangan mahasiswa khususnya yang terkandas di kolej kediaman mahupun rumah sewa.

Bagi pendekatan peribadi di media sosial, YB Dato’ boleh menganjurkan pertandingan berbentuk poster atau video bagi mahasiswa menyampaikan mesej penguat semangat kepada rakan-rakan mereka serta barisan ‘frontliners’.

Azrie Ezaidi

Kreativiti mahasiswa pastinya akan terserlah dan mampu memberikan sedikit motivasi buat seluruh warga Malaysia.

Cukuplah berikut cadangan daripada saya yang kerdil ini. Saya yakin, ramai lagi barisan penasihat dan professional di belakang YB yang sedia berkongsi pandangan dan idea bernas. Mahasiswa di seluruh Malaysia pastinya mengharapkan yang terbaik daripada YB Dato’ dan barisan kepimpinan yang lain.

Saya mendoakan yang terbaik buat Kementerian Pengajian Tinggi khususnya dan kerajaan Malaysia umumnya dalam menangani segala masalah yang timbul sewaktu wabak COVID-19 melanda.

#KITAPASTIMENANG


Azrie Ezaidi

Mahasiswa Universiti Malaya

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s