Intelek

RESENSI BUKU NEO-SISWA

TAJUK BUKU: WHO RULES THE WORLD?

PENULIS: NOAM CHOMSKY

Buku ini ditulis oleh Noam Chomsky, seorang pensyarah dalam bidang linguistik di Massachuset’s Institute of Technology (MIT). Beliau juga aktif dalam bidang kajian sosial dan politik dengan lontaran kritikan melalui pelbagai medium seperti penulisan dan sebagainya. Seperti yang dikenali ramai, Chomsky kerap memberikan kritikan terhadap banyak tindakan yang dilakukan oleh Amerika Syarikat. Tidak hairan sekiranya pada tahun 70 an, beliau dikatakan sebagai musuh Presiden A.S pada waktu itu, Richard Nixon.

Secara umumnya, buku ini juga memaparkan sisi antagonis Amerika Syarikat dalam arena politik dan hubungan antarabangsa. Penulis menyatakan bahawa Amerika Syarikat sering mempersoal isu kebebasan bersuara, hak asasi dan sebagainya namun tindakan yang diambil sering bertentangan dengan persoalan yang mereka lontarkan.

Luqman Hakim bin Syahbudin

Sebagai seorang ahli akademik yang terkemuka, sudah tentu segala isu-isu yang dibangkitkan di dalam buku ini turut disertakan hujah dan alasan yang munasabah.

Namun demikian, penulis menekankan bahawa tidak semudah itu untuk kita katakan negara Amerika Syarikat yang mengendali (rule) dunia. Benar, mungkin sahaja dalam ilmu hubungan antarabangsa apabila ditanyakan siapa yang memerintah/mengawal dunia maka jawapannya akan tertumpu kepada sesebuah negara tertentu. Hal ini kerana negara mempunyai wilayah, kekuatan tentera dan lain-lain yang membolehkan ianya dikatakan sebagai mengawal negara lain. 

Namun, penulis mengingatkan agar tidak melupakan golongan yang dikatakan sebagai “Sektor Korporat Global”. Mereka ini adalah sebenarnya “de facto world government” yang menentukan tindakan polisi sesebuah negara. Penulis memberikan satu petikan kajian yang menyatakan elit-elit ekonomi dan pertubuhan yang berlatar belakangkan keuntungan perniagaan (business interest) ini sebenarnya bebas untuk menentukan polisi kerajaan Amerika Syarikat berbanding dengan rakyat yang kurang pengaruhnya dalam penentuan polisi.

Selain itu, perancangan Amerika Syarikat untuk menjadi kuasa besar dunia juga sudah dirancang dan disusun sejak tamatnya perang dunia ke-2.

Semasa negara-negara lain sedang membaiki dan memulihkan ekonomi negara mereka yang meleset kesan daripada perang dunia, Amerika Syarikat dilihat antara kuasa dunia yang terkuat bersama dengan Soviet Union yang kemudiaannya runtuh pada tahun 1991.

Luqman Hakim bin Syahbudin

Dalam pada masa itu, Amerika Syarikat cuba untuk menguasai dan mengawal negara-negara lain dengan menubuhkan serta mendapatkan kuasa veto dalam pertubuhan-pertubuhan antarbangsa seperti NATO, United Nation, IMF dan lain-lain.

Turut dirungkaikan juga di dalam buku ini berkaitan dengan agenda global Amerika Syarikat yang dengan sengaja melakukan campur tangan (intervension) dalam hal ehwal politik negara lain. Mereka kerap menggunakan alasan atas nama kemanusiaan, demokrasi ataupun kerana diundang. Bahkan, penulis turut menghuraikan bagaimana tindakan-tindakan ini menyebabkan berlakunya krisis-krisis yang lain seperti pelarian, isu keganasan global dan sebagainya. 

Sekiranya diamati dengan teliti, masih banyak lagi hal yang dibangkitkan penulis termasuk isu yang berkait dengan beberapa permasalahan yang melanda umat Islam seperti tuduhan pengganas, Islamophobia dan lain-lain. Golongan kapitalis dilihat sebagai antara punca besar yang menyebabkan isu-isu global pada hari ini terjadi.

Luqman Hakim bin Syahbudin

Mungkin ada yang bertanya, bagaimana mungkin seorang Chomsky yang merupakan rakyat Amerika Syarikat sanggup mendedahkan dan mengkritik negaranya sendiri? Untuk menjawab persoalan tersebut, penulis memberikan penerangan sejarah tentang seorang ahli tentera perancis dahulu yang bernama Alfred Dreyfus sebagai alasan atas tindakan yang beliau lakukan. Beliau (Dreyfus) dikatakan menerima hukuman penjara seumur hidup kerana dituduh mengkhianati negaranya sendiri tanpa sebarang bukti yang kukuh. Kisah ini juga dikatakan merupakan punca kepada terbentuknya perkataan ‘Intelektual’.

Kesimpulannya, genre buku ini boleh dikategorikan sebagai bacaan yang agak berat kerana bermacam fakta sejarah dan terma-terma yang tidak biasa didengar oleh sesetengah pembaca terkandung di dalamnya. Namun demikian, bacaan seperti ini yang melibatkan isu global wajar dijadikan bacaan sampingan mahasiswa/wi. Hal ini sekaligus membuka mata kita untuk memahami kewajaran dan rasional tindakan yang dilakukan oleh sesuatu pihak. 

Dalam Islam, hubungan bernegara bukanlah satu perkara yang asing dan dikecualikan daripada peraturan dan syarak. Kita digalakkan untuk memainkan peranan yang penting sebagai catur politik dengan negara yang lain agar menjadi salah satu medium menyebarkan dakwah Islam. Ini selari dengan firman Allah swt di dalam al-quran yang bermaksud; 

“Wahai umat manusia! Sesungguhnya kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra dengan yang lain). sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah SWT ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah maha mengetahui lagi maha dalam pengetahuannya (akan keadaan dan amalan kamu).”

– Surah al-Hujurat; 13

Dengan ini, syiar-syiar Islam yang bersifat universal dan mencakupi segala aspek ini mampu tersebar luas di setiap pelusuk negara dan membawa kita untuk mengesakan Allah swt. Berpesan-pesan lah ke arah kebaikan dan jauhkan diri dari kemungkaran. Semoga bermanfaat.


Luqman Hakim bin Syahbudin

Mahasiswa tahun dua, Jabatan Syariah dan Sains Politik Islam,

Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s